Monday, July 18, 2011

PR1MA - PaRT 2 - PaRaMeTeR



Lokasi:
PR1MA akan dilaksanakan di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara. Di kawasan bandar, rumah berbilang tingkat akan dibina manakala di kawasan pinggir bandar yang mana saiz tanahnya lebih luas dan kos tanah yang lebih rendah, pembinaan kediaman bertanah akan dilaksanakan.

Projek PR1MA dimulakan di kawasan Lembah Klang kerana permintaan yang tinggi. Ini juga didorong oleh faktor harga hartanah yang tinggi terutamanya di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Seterusnya, pelaksanaan PR1MA akan diperluas ke negeri-negeri lain.


Model Pembangunan
:
Projek PR1MA akan dilaksanakan secara pembangunan bercampur dengan pembinaan lot-lot komersil di kawasan pemajuan. Projek pembinaan juga akan dilaksanakan di lokasi yang berhampiran atau berdekatan dengan jaringan sistem pengangkutan awam termasuk Mass Rapid Transit (MRT)/Light Rail Transit (LRT)/KTM Komuter dan Bus Expressway Transit (BET) bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian. Ini seterusnya dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan kepada penghuni.

Pemaju-pemaju juga adalah digalakkan untuk menggunakan sistem binaan berindustri (Industrialised Building Systems-IBS) dalam pembinaan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. Di samping itu, pemaju juga digalakkan untuk mengaplikasi konsep teknologi hijau dalam setiap pemajuan perumahan.

Jenis Kediaman:
Unit-unit rumah yang akan dibina adalah jenis strata atau kediaman bertanah bergantung kepada lokasi dan saiz tanah.

Keluasan Unit:
Keluasan setiap unit rumah adalah di antara 800 kaki persegi hingga 1,400 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

Harga:
Harga jualan setiap unit adalah dari RM150,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi dan saiz unit rumah.

Kelayakan:
Pemohon yang layak untuk membeli rumah PR1MA adalah warganegara Malaysia yang berpendapatan sederhana sehingga RM6,000 sebulan. Pembeli juga merupakan pembeli kali pertama bagi Program ini dan disyaratkan untuk mendiami rumah PR1MA tersebut (owner occupied).

Bagi melayakkan pemohon untuk mendapat pinjaman pembiayaan daripada institusi kewangan, jumlah komitmen tanggungan pemohon mestilah tidak melebihi 65 peratus daripada jumlah pendapatan kasar bulanan termasuk pembiayaan bagi rumah PR1MA.

Bantuan Kerajaan:
Program akan dilaksanakan secara Kerjasama Awam Swasta (Public-Private Partnership) dengan sektor swasta sebagai pemaju perumahan iaitu sama ada dilaksanakan di atas tanah pemaju sendiri atau di atas tanah-tanah milik Kerajaan. Kerajaan juga bersedia memberi bantuan dalam bentuk dana mudahcara (facilitation fund).

Kerajaan akan menyediakan green lane kepada pemaju yang menyertai PR1MA bagi membantu mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Moratorium:
Selaras dengan tujuan PR1MA untuk menggalakkan pemilikan hartanah kediaman di kalangan golongan berpendapatan sederhana, pembeli dikenakan moratorium iaitu tidak dibenarkan menjual rumah PR1MA yang di beli untuk tempoh 10 tahun.

Pakej Pembiayaan:
Pembeli yang layak boleh mendapatkan pinjaman sehingga 105 peratus daripada institusi kewangan yang berkenaan dengan tempoh pembayaran balik sehingga maksimum 30 tahun. Jumlah tersebut adalah termasuk harga rumah, kos guaman dan mortgage reducing term assurance (MRTA). Pembeli juga akan dikecualikan daripada bayaran duti setem.

Selain itu, institusi kewangan juga menyediakan kaedah pembayaran balik pinjaman yang fleksibel iaitu sama ada berdasarkan interest servicing untuk 5 tahun pertama atau pembayaran bulanan secara biasa. Pembeli juga mempunyai pilihan untuk menggunakan sebahagian daripada caruman dalam Akaun Dua (2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi menampung sebahagian pembayaran balik pinjaman atau bagi tujuan mendapatkan nilai pinjaman yang lebih tinggi daripada insitusi kewangan menerusi mekanisme ring-fencing.




PaK aBu :- HARGE dan KELUASAN serta KEMUDAHAN yang ditawarkan agak berpatutan dengan LOKASI yang disediakan...syarat kelayakan dan bantuan pembiayaan juga menyemarakkan lagi golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri ~

1 comment: